Search This Blog

Sunday, July 6, 2014

Hina Nabi: CONCERN buat aduan polis


Kota Kinabalu: Tindakan seorang pemilik akaun memuat naik kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW menerusi laman sosial Facebook miliknya, mendapat reaksi Gabungan Badan Bukan Kerajaan Islam Sabah (CONCERN) apabila yang tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Pengerusinya Sainuri Yahmin menyifatkan individu menggunakan akaun ‘David Orok’ dianggap keterlaluan dan mampu mencetuskan ketegangan antara kaum.


“Tindakan individu bernama David ini adalah sama sekali tidak benar, palsu dan merendah-rendahkan Nabi Muhammad SAW dan menghina umat Islam di negara ini.

“Malah, dakwaan individu terbabit yang kononnya merujuk kepada al-Quran dan hadis adalah tidak benar dan bercanggah,” katanya ketika ditemui.


Sainuri berkata, kenyataan David yang dimuatnaik perkara itu kira-kira jam 12.11 tengah malam, kelmarin, boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.


“Semalam (kelmarin), kami menerima pesanan menerusi laman sosial WhatsApp menunjukkan gambar keratan kenyataan David.

“Enggan menuduh membuta tuli, kami terus memeriksa akaun Facebook milik individu ini dan terbukti ia adalah benar,” katanya.


Katanya, CONCERN membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan undang-undang dikenakan sebagai pengajaran kepada pelakunya.



“Siasatan segera perlu dilakukan kerana tindakannya boleh mencetuskan pergaduhan dan perselisihan faham antara masyarakat.


“Memang setiap penduduk di negara ini mempunyai hak bersuara, namun bukan dengan cara yang menyentuh sensitiviti orang berlainan agama,” katanya.


Harian Metro difahamkan, David adalah anggota Parti Reformasi Negeri (STAR) dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.


Terdahulu, CONCERN dianggotai 15 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah dan Persatuan Peguam Muslim Sabah.


Sementara itu, kenyataan biadab dimuat naik individu berkenaan turut mendapat perhatian Pergerakan Pemuda UMNO Putatan apabila turut tampil membuat laporan polis.


Ketua Pemuda UMNO Putatan Ir Shahelmey Yahya berkata, tindakan individu itu dikhuatiri akan mencetus perbalahan antara kaum dan agama di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

No comments:

Post a Comment