Search This Blog

Thursday, July 31, 2014

Hasrat enam nelayan hanyut menyambut Aidilfitri tercapai


MAT Sah Sidek ( dua dari kiri) bersama awak-awak bot selamat tiba di Jeti LKIM Kuala Dungun, Terengganu, semalam. - UTUSAN/EZZUAN AHMAD
DUNGUN 30 Julai - Kepulangan enam nelayan dari Kuala Dungun di sini yang dikhuatiri hilang ketika keluar menangkap ikan 15 Julai lalu melenyapkan kesedihan keluarga yang menunggu mereka untuk bersama menyambut Aidilfitri.
Bagi anggota keluarga yang membayangkan pelbagai kemungkinan buruk, kepulangan mereka pada lewat petang hari raya pertama merupakan hadiah Aidilfitri paling bermakna.
Mereka sepatutnya pulang seminggu sebelum itu namun bot yang dinaiki mengalami kerosakan enjin dan dihanyutkan arus sehingga memasuki perairan Vietnam, kira-kira 630 kilometer dari Kuala Dungun.
Nelayan terbabit iaitu tekong bot, Mat Sah Sidek, 45, serta lima awak-awaknya iaitu Almi Awang, 44; Shah Kamarul Mat Sah, 23; Mohd. Abdullah, 50; Mohd. Padeli Jusoh, 36, dan Mohd. Jefrizal Jaafar, 30, ditemui dalam keadaan keletihan selepas tujuh hari terputus bekalan makanan.
Mat Shah berkata, sepanjang tempoh hanyut itu mereka terjumpa dengan lebih 30 bot nelayan asing namun rayuan meminta tolong tidak diendahkan.
Malah katanya, Almi nekad terjun dari bot dan berenang naik ke atas sebuah bot nelayan asing sebagai jalan akhir untuk meminta bantuan namun bukan sahaja rayuannya tidak dipedulikan malah dia ditumbuk.
"Selepas puas merayu, akhirnya mereka memberikan kami sedikit makanan di samping membantu membaiki bot kami dan dua hari selepas itu bot kami berjaya dihidupkan," katanya.
Mat shah berkata, dalam perjalanan pulang, bot mereka sekali lagi kehabisan minyak dan sebuah kapal dari negara ini membantu memberi empat tong minyak sebelum mereka meneruskan perjalanan pulang.
"Apabila tiba di perairan Pulau Tenggol, bot kami sekali lagi kehabisan minyak sebelum mereka berjaya menghubungi majikan dan sebuah bot lain dihantar menarik bot kami menuju Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Dungun.
Dalam pada itu, isterinya, Kamariah Mohd. Nor, 50, bersyukur di atas kepulangan suami dan anaknya, Shah Kamarul.
"Setiap hari saya menangis memikirkan nasib suami dan anak. Setelah diberitahu oleh pemilik bot yang mereka selamat, saya terus bergegas ke Jeti LKIM Dungun.
"Raya tahun ini cukup bermakna bagi saya kerana anak dan suami balik dalam keadaan selamat. Saya ingat mereka sudah tiada," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada isteri tekong bot terbabit berhubung kehilangan sekumpulan nelayan itu pada 25 Julai lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140731/je_07/Hasrat-enam-nelayan-hanyut-menyambut-Aidilfitri-tercapai#ixzz38zx4rnu5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment