Search This Blog

Monday, July 21, 2014

Hanyut 16 jam


Mersing: Dua daripada empat mangsa bot karam di Perairan Pulau Rimau dekat sini, semalam, ditemui selamat awal pagi ini oleh sebuah bot nelayan tempatan selepas 16 jam terapung.
Mohamad Shafiq Nor Affandi, 22 dan Mohamad Syahkirin Khalil, 22, ditemui terapung di perairan Pulau Seri Buat, Rompin, Pahang kira-kira jam 7 pagi tadi oleh sebuah bot nelayan yang kebetulan melalui kawasan berkenaan. 
Terdahulu, Mohamad Shafiq dan Mohamad Syahkirin bersama Mohd Faizal Baharudin, 38, serta Mohamad Izuddin Mahayuddin, 24, berlepas dari Mersing kira-kira jam 10 pagi menuju ke Pulau Tioman untuk menguji enjin bot gentian kaca milik Mohd Faizal yang baru dibaiki. 

Bagaimanapun kira-kira jam 3 petang ketika dalam perjalanan balik, tempat meletak enjen bot berkenaan tiba-tiba patah menyebabkan enjin sangkut 250 kuasa kuda itu jatuh ke dalam laut.
Foto
MOHAMAD Shafiq (kiri) dan Mohamad Syahkirin. FOTO Mohd Sah Muda

Mohamad Shafiq, berkata, ketika kejadian keadaan laut turut bergelora menyebabkan air mula masuk ke dalam bot sebelum tenggelam di perairan berdekatan Pulau Rimau di sini, tidak lama kemudian.

"Saya dan Mohamad Syahkirin hanyut dibawa ombak dan arus sehingga ke perairan Pulau Seri Buat di Perairan Rompin, Pahang. 

"Manakala, bapa saudara (Mohd Faizal) dan Mohamad Izuddin dihanyutkan ke arah lain," katanya. 

Mereka diselamatkan sebuah bot nelayan kira-kira jam 7 pagi tadi dan dibawa ke Pantai Air Papan di sini, sebelum menghubungi keluarga dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing sejurus kemudian. 

Ketua Polis Daerah, Deputi Suprintendan Zulkepli Hashim mengesahkan kejadian itu sambil berkata gerakan mencari dan menyelamat membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/20

No comments:

Post a Comment