Search This Blog

Tuesday, July 15, 2014

Hakim tarik diri kes Muhammad Shafee


PUTRAJAYA 14 Julai - Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mah Weng Kwai yang juga bekas Pengerusi Majlis Peguam hari ini menarik diri daripada mendengar rayuan peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang didenda RM5,000 selepas didapati bersalah oleh badan itu atas dakwaan salah laku profesion, empat tahun lalu.
Hakim berkenaan bersetuju menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut bagi mengelak berlaku konflik kepentingan kerana beliau juga pernah menganggotai Lembaga Disiplin badan itu selama 10 tahun.
Sehubungan itu, Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof yang mengetuai panel tiga hakim bersidang menangguhkan rayuan hingga 14 Oktober ini.
Beliau yang bersidang bersama Datuk Abang Iskandar Abang Hashim menetapkan bahawa kuorum yang mendengar rayuan itu kelak tidak akan melibatkan kehadiran hakim tersebut.
Perkara itu dibangkitkan sendiri oleh Muhammad Shafee pada awal prosiding rayuan berhubung keputusan Badan Disiplin Peguam bela dan Peguam cara yang mendapatinya bersalah atas dakwaan memberi publisiti tentang dirinya dan firma guaman beliau.
Ekoran itu, Muhammad Shafee memfailkan saman bagi mengetepikan keputusan tersebut dengan mendakwa Majlis Peguam mengamalkan pendakwaan terpilih berhubung kes terhadapnya.
Ketika berhujah, Muhammad Shafee menyatakan, beliau tidak meragui kewibawaan Hakim Weng Kwai mendengar rayuan itu, sebaliknya beliau terpanggil untuk membangkitkannya supaya tidak dipersalahkan pada masa akan datang kerana tidak memajukannya kepada mahkamah.
Sehubungan itu, Muhammad Shafee memohon pertimbangan agar Hakim Weng Kwai menarik diri jika beliau tidak selesa terlibat dalam kuorum berkenaan.
Sementara itu, Arthur Wang yang mewakili Majlis Peguam menyatakan, beliau yakin dengan kewibawaan Hakim Weng Kwai mendengar rayuan itu dan pihaknya sedia mengemukakan penghujahan.
Ketika mahkamah bersidang, Hakim Weng Kwai meminta kepastian sama ada Muhammad Shafee yang mewakili dirinya sendiri, memakai jubah ketika berhujah di hadapan panel tersebut.
Peguam itu yang menyedari dia masih memakai jubah berkenaan bertindak pantas menanggalkannya lalu meneruskan hujah.
Adalah menjadi satu amalan biasa bahawa peguam yang mewakili diri sendiri harus menanggalkan jubah hitam yang dipakainya ketika berhujah dalam rayuan atau perbicaraan kes.
Muhammad Shafee merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 10 Januari lalu yang menolak permohonannya untuk mengetepikan keputusan Badan Disiplin Peguam bela dan Peguam cara bertarikh 5 Oktober 2012.
Hakim Datuk Zaleha Yusof dalam keputusannya berkata, setelah membaca artikel bertarikh 27 September 2009, mahkamah mendapati, gambaran yang diberikan oleh wartawan akhbar The Star, Shahanaz Habib hasil temu bualnya bahawa Muhammad Shafee seorang peguam berprofil tinggi adalah perkataan yang digunakan oleh wartawan tersebut dan bukannya daripada peguam berkenaan.
Walau bagaimanapun, Hakim Zaleha menegaskan, mahkamah bersetuju, artikel tersebut bersifat pujian dan menyentuh mengenai Muhammad Shafee, berada di luar skop yang dibenarkan dalam Profesion Undang-Undang (Publisiti) 2001.
Muhammad Shafee memfailkan permohonan itu pada 16 November 2012 untuk mengetepikan keputusan badan tersebut yang memerintahkan beliau membayar denda RM5,000 kepada Tabung Tatatertib kerana melanggar beberapa peruntukan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.
Pengerusi Majlis Peguam (ketika itu) Ragunath Kesavan membuat laporan terhadap Muhammad Shafee pada 23 September 2010 yang didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditemu bual oleh wartawan berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140715/ma_02/Hakim-tarik-diri-kes-Muhammad-Shafee#ixzz37UCuC7mv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment