• Keadaan kemalangan yang meragut nyawa mangsa.Keadaan kemalangan yang meragut nyawa mangsa.

JEMPOL - Seorang kakitangan Felda Palong 10 di sini, tidak sempat melangsungkan pertunangannya Disember ini apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 22 , Jalan Bahau-Keratong, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa, Mohamad Abu Thalha Mohamad Ardani, 25, dalam perjalanan pulang ke rumahnya dekat Felda Lui Barat, di sini.

Bapa mangsa, Mohamad Ardani Ngadimon, 55, berkata, anak keempat daripada 10 beradik itu pernah memaklumkan untuk bertunang selepas Hari Raya Aidilfitri, namun ditunda pada Disember.

Menurutnya, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau kelakuan pelik ketika mereka sekeluarga berbuka puasa pada Sabtu dan Ahad lalu.

"Sebelum arwah bergerak pulang ke Felda Lui Barat, isteri saya sempat menelefon arwah memaklumkan terdapat kemalangan di jalan Bahau - Keratong berhampiran lampu isyarat Bandar Seri Jempol.

“Isteri saya sempat berpesan agar memandu berhati-hati. Namun tidak lama kemudian, kami dimaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan dan maut di lokasi kejadian,” katanya yang bergegas ke tempat kejadian, petang kelmarin.

Menurutnya, jenazah anaknya itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Felda Lui Barat selepas selesai bedah siasat di Hospital Jempol, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu  sebuah lori, treler dan kereta jenis Proton Persona dipandu mangsa.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku apabila lori dari arah Bahau terbabas ke bahu jalan semasa cuba naik ke atas jalan yang bertebing sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Ketika itu, datang sebuah treler dari arah bertentangan, namun sempat mengelak ke kanan tetapi bergesel di bahagian belakang sebelah kiri lori.

"Selepas itu, lori berkenaan bertembung pula dengan kereta dipandu mangsa yang berada di belakang treler," katanya.

Katanya, mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika mengesahkan kejadian, semalam.

Difahamkan, pemandu lori dan treler tidak cedera. Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bandar Seri Jempol.