Search This Blog

Friday, July 4, 2014

Guru Pasti selamatkan pelajar daripada diculik


KHAIRIL ABDUL RAHIM | .
TEMERLOH: Serentak dengan ketangkasan seorang guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) menyelamatkan seorang pelajarnya daripada menjadi mangsa culik kelmarin, Dewan Pemuda PAS Kawasan Temerloh (DPPKT) melahirkan rasa syukur di atas komitmen para guru di dalam mendidik, mengasuh dan menjaga keselamatan para pelajar.

Ketuanya, Ustaz Zaharim Ishak dalam kenyataan medianya menyebut, Pasti merupakan salah satu aktiviti pendidikan dan kebajikan di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia sememangnya mengutamakan aspek keselamatan di Pasti.

Jelasnya, setiap pelajar yang pulang akan dipastikan oleh guru bertugas dijemput oleh ibu bapa atau wakil yang disahkan oleh keluarga.

Zaharim merujuk kepada isu laporan polis berhubung cubaan membawa pulang murid Pasti oleh individu yang tidak dikenali kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi apabila seorang lelaki menunggang motosikal datang dan cuba membawa pulang anak seorang guru di sebuah Pasti di Temerloh Makmur dekat sini, kononnya diminta oleh keluarganya.

Bagaimanapun tindakan pantas guru pengasuh Pasti berkenaan memaklumkan kejadian itu kepada ibu mangsa, iaitu seorang guru sekolah menengah di sini yang berusia 29 tahun, berjaya menyelamatkan cubaan melarikan kanak-kanak terbabit.

Guru yang enggan identitinya didedahkan itu, bergegas ke Pasti terbabit selepas dimaklumkan guru pengasuhnya dan segera  membuat laporan polis.

Isu tersebut menjadi bualan hangat dalam aplikasi Whatsapp dan tersebar secara meluas di sekitar daerah ini.

Dalam pada itu Zaharim mengucapkan tahniah dan syabas di atas tindakan bijak lagi tepat oleh guru terbabit kerana segera menghubungi ibu murid untuk pengesahan.

“Pihak DPPKT juga mengucapkan terima kasih kepada ibu murid tersebut kerana segera membuat laporan polis agar tindakan susulan dapat diambil.

“Oleh itu, saya bagi pihak DPPKT mengharapkan isu ini dapat dibincang secara bertanggungjawab dan tidak membawa kepada fitnah.

“Justeru, DPPKT menggesa semua pihak terutama pihak kerajaan agar meningkatkan usaha menjaga keselamatan rakyat amnya dan pelajar sekolah dan pra-persekolahan khasnya,” jelas beliau dalam kenyataan medianya. – HARAKAHDAILY 4/7/2014

No comments:

Post a Comment