• Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan (kanan) menunjukkan motosikal dan barang kes yang berjaya ditemui selepas Polis Kedah berjaya melumpuhkan sindiket curi motosikal yang didalangi seorang individu berusia 29 tahun dikenali sebagai 'Anas Simpang Empat' hasil penahanan lima suspek ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar di Alor Setar hari ini. - Foto BernamaKetua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan (kanan) menunjukkan motosikal dan barang kes yang berjaya ditemui selepas Polis Kedah berjaya melumpuhkan sindiket curi motosikal yang didalangi seorang individu berusia 29 tahun dikenali sebagai 'Anas Simpang Empat' hasil penahanan lima suspek ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar di Alor Setar hari ini. - Foto Bernama

ALOR SETAR - Polis melumpuhkan satu kumpulan curi motosikal yang didalangi seorang lelaki berusia 29 tahun dikenali sebagai 'Anas Simpang Empat' hasil penahanan lima suspek termasuk individu berkenaan.
  
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata kesemua suspek berusia antara 19 hingga 29 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Simpang Empat, dekat sini pada pukul 2.50 pagi semalam.
  
Beliau berkata dalam serbuan itu polis menjumpai enam motosikal dan sebuah kereta jenis Proton Waja di kawasan rumah suspek yang berusia 29 tahun itu.
  
"Dua motosikal (masing-masing) jenis Yamaha Ego dan Honda EX5 dipercayai telah dilaporkan hilang di Alor Setar dan Simpang Empat pada akhir tahun lepas dan awal tahun ini manakala dua lagi motosikal (masing-masing) jenis Yamaha 125Z dan Yamaha Ego, nombor sirinya telah pun dikikis bagi mengelakkan daripada dikesan.
  
"Dua lagi motosikal dan kereta yang dijumpai itu dipercayai milik keluarga suspek. Kita percaya mereka juga menjalankan aktiviti meleraikan motosikal itu untuk dijual sebagai alat ganti kepada pembeli," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar hari ini.
 
Adzaman berkata kumpulan berkenaan dipercayai telah mula aktif pada 2012 dan salah seorang suspek kumpulan itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau pelbagai kes.
  
"Semasa serbuan, kesemua suspek berada di bawah pengaruh dadah jenis morfin dan dianggarkan jumlah keseluruhan yang berjaya dirampas melebihi RM20,000.   

"Kesemua suspek itu ditahan dan barang rampasan akan disiasat mengikut Seksyen 39A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor dan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - Bernama