Search This Blog

Friday, July 11, 2014

Gadis maut sebelum sempat hadiri temu duga


ALOR SETAR 10 Julai - Seorang gadis tidak sempat untuk menghadiri temu duga Skim Latihan 1Malaysia di sebuah hotel di sini apabila dia menemui ajal dalam satu kemalangan di Batu 2, Jalan Langgar di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu berlaku ketika mangsa, Azah Syazwani Mohamad Diauddin, 23, dalam perjalanan untuk menemui rakannya Nailil Syuhartini Md. Zin, 24, di sebuah pasar raya besar di sini sebelum bersama-sama ke TH Hotel untuk menghadiri temu duga tersebut.
Difahamkan, kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang Azah Syazwani yang merupakan graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia bergesel dengan sebuah treler membawa muatan kayu menyebabkan mangsa terperosok ke bawah kenderaan itu sebelum digilis dan tersepit di celah tayar.
Rakan mangsa, Nailil Syuhartini memberitahu, kali terakhir dia menghubungi Azah Syazwani ialah kira-kira pukul 7.30 pagi dan mangsa memberitahu dia sudah mahu keluar dari rumah kakaknya yang terletak di Taman Serindit di sini.
"Pada masa itu, saya sudah tunggu di pasar raya besar yang terletak berdekatan rumah kakaknya namun Azah Syazwani tidak muncul-muncul setelah setengah jam saya menunggu.
"Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan daripada seorang anggota bomba memberitahu rakan saya terlibat kemalangan sebelum menjemput saya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)," katanya ketika ditemui di HSB di sini hari ini.
Menurut Nailil Syuhartini, dia tidak menyangka luahan Azah Syazwani yang mengatakan dia berat hati untuk menghadiri temu duga terbuka Skim Latihan 1Malaysia menerusi aplikasi WeChat kira-kira setengah jam sebelum kejadian memberi petanda dia akan pergi selama-lamanya.
Dalam pada itu, abang ipar mangsa, Mohd. Nizam Ahmad, 45, berkata, dia menjemput arwah malam sebelum kejadian di rumah ibunya di Guar Chempedak, Yan dekat sini kerana bimbang keselamatan arwah kerana dia menunggang motosikal bersendirian.
"Saya ajak arwah tidur di rumah saya yang terletak tidak jauh dari hotel itu dan tidak sangka arwah terlibat kemalangan di lokasi yang hanya terletak kurang satu kilometer dari rumah saya," katanya.
Tambahnya, salah seorang kakak arwah juga menemui ajal dalam kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah van, 12 tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan mengesahkan kejadian dan memberitahu, pihaknya telah mengambil keterangan pemandu lori treler itu untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140711/je_02/Gadis-maut-sebelum-sempat-hadiri-temu-duga#ixzz376o7ZDOz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment