Search This Blog

Friday, July 4, 2014

Empat nelayan didenda


BALIK PULAU 3 Julai - Seorang tekong bot warga Indonesia didenda RM7,000 manakala tiga awak-awaknya masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran, bulan lalu.
Kesemua mereka yang dikenali sebagai Abdul Muiz, 33, Azwan, 37, Bahri, 40, dan Teng, 36, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku melakukan kesalahan itu dengan menggunakan pancing kira-kira 22.1 batu nautika dari Pulau Kendi di sini pada 22 Jun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dibaca bersama Seksyen 24(1) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(a) akta tersebut yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta terhadap tekong bot, sementara awak-awak boleh didenda sehingga RM100,000.
Majistret Muhammad Najib Ismail turut memerintahkan setiap tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda masing-masing.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Yassinnisa Begum Seeni Mohideen manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tekong bot itu, Abdul Muiz memohon agar hukuman ringan dikenakan kerana mendakwa mereka semua terdampar di perairan Malaysia selama dua hari dua malam selepas bot dinaiki kehabisan minyak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140704/ma_03/Empat-nelayan-didenda#ixzz36RjAj1pj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment