Search This Blog

Friday, July 4, 2014

Empat anggota militan Sri Lanka ditahan di ibu negara, Selangor - KPN


2014/07/04 - 15:56:44 PM
KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lelaki warga Sri Lanka, dipercayai anggota kumpulan pengganas Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) Sri Lanka dalam serbuan di sekitar ibu negara dan Selangor, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, keempat-empat mereka ditahan kerana disyaki anggota kanan LTTE yang terbabit dalam melancarkan serangan di Sri Lanka serta merancang untuk mengaktifkan LTTE dengan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi mereka.

"Suspek pertama yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) adalah pakar pembuat bahan letupan; suspek kedua terbabit dalam cubaan membunuh bekas Presiden Sri Lanka, Chandirka Kumaratunga pada 18 Disember 1999.

"Suspek ketiga pula bersubahat dengan seorang warganegara Sri Lanka yang ditangkap oleh Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman pada 14 Mei lalu kerana merancang untuk melancarkan serangan ke atas pejabat konsulat asing di Chennai dan Banglore, India," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid berkata, suspek yang sama juga terbabit dalam aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan, pas pelajar warga asing dan aktiviti penyuludupan manusia.

"Suspek keempat pula terbabit dalam pengumpulan dan penyaluran maklumat kepada LTTE untuk tujuan merancang serangan," katanya.

Beliau berkata, antara barangan yang dirampas dalam operasi berkenaan adalah sejumlah besar pasport palsu pelbagai negara dan cop rasmi palsu Jabatan Imigresen Malaysia dan kedutaan-kedutaan asing.
"Kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya.

No comments:

Post a Comment