Search This Blog

Tuesday, July 15, 2014

Dua warga Myanmar dicekup


DUA warga Myanmar berjaya ditahan polis ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Melati, Kuala Lumpur, kelmarin.
KUALA LUMPUR 14 Julai - Seorang gadis berdepan detik cemas apabila kediamannya di Taman Melati, Gombak dekat sini dipecah masuk oleh dua lelaki Myanmar pada awal pagi Sabtu lalu.
Menurut sumber, ketika kejadian kira-kira pukul 3.20 pagi itu, mangsa yang berusia 20-an hanya tinggal berdua dengan pembantu rumahnya di kediaman itu kerana ibu bapanya keluar.
Bagaimanapun, kata sumber itu, tindakan pantas mangsa menghubungi polis menyebabkan kedua-dua suspek yang memakai baju T dan seluar jean yang berwarna sama ditangkap.
"Selepas menyedari rumahnya dipecah masuk, mangsa dan pembantu rumahnya lari ke dalam salah sebuah bilik dan menguncinya daripada dalam. Dalam keadaan panik mangsa sempat menghubungi beberapa kenalannya dan polis untuk meminta bantuan.
"Sepasukan polis peronda yang tiba tidak lama kemudian berjaya memberkas kedua-dua suspek yang kemudian dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan lanjut," katanya.
Difahamkan, kejadian pecah rumah melibatkan warga asing yang memakai baju dan seluar berwarna sama telah beberapa kali berlaku di sekitar kawasan Taman Melati.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140715/je_01/Dua-warga-Myanmar-dicekup#ixzz37UDeoT00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment