• Mohd Zabri (dua, kanan) menunjukkan ular tedung selar yang tumpas di tangan sekumpulan anggota JPAM di Kampung Baru Pengkalan Berangan, Marang, semalam.Mohd Zabri (dua, kanan) menunjukkan ular tedung selar yang tumpas di tangan sekumpulan anggota JPAM di Kampung Baru Pengkalan Berangan, Marang, semalam.
MARANG - JPAM Marang berjaya menangkap seekor ular tedung selar sepanjang enam meter di Kampung Baru Pengkalan Berangan di sini, malam kelmarin selepas bertungkus lumus selama dua jam.

Ular tedung selar rotan itu berjaya ditangkap selepas dikesan penduduk kampung yang melihat reptilia itu keluar dari sebuah rumah penduduk dan kemudiannya menyusur memasuki Pejabat Pertanian Pengkalan Berangan. Staf Tinggi JPAM daerah, Mohd Zabri Abd Razak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kehadiran reptilia itu kira-kira jam 8.15 malam sebelum menghantar sekumpulan enam anggota JPAM ke tempat kejadian.

Menurutnya, operasi berkenaan diketuai Kopral Wan Mohd Faizal Wan Ismail yang mengambil masa selama dua jam untuk menangkap ular tersebut yang bersembunyi di bawah timbunan kayu di dalam stor pejabat pertanian terbabit.

“Ular berkenaan dilihat keluar dari sebuah rumah penduduk, kemudian menyusur ke arah Pejabat Pertanian Pengkalan Berangan dan terus memasuki ke dalam bangunan pejabat pertanian sebelum ia berjaya dikesan berada dalam stor pejabat itu.

“Anggota JPAM mengambil masa selama dua jam untuk menangkap ular tersebut kerana keadaan dalam stor yang dipenuhi timbunan kayu menyukarkan kerja-kerja menangkap reptilia berbisa berkenaan,” katanya, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai di daerah berkenaan yang masih mempercayai ketangkasan JPAM menangkap reptilia berbisa yang  boleh membunuh mangsa dalam masa singkat.