Search This Blog

Saturday, July 12, 2014

Dituduh latih pengganas


Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

Kuala Kangsar: Seorang pengusaha ladang sawit dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas pertuduhan memberi latihan ketenteraan kepada individu yang bersedia membabitkan diri dalam perbuatan pengganas, Disember tahun lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muamar Gadaffi Mohamad Shafawi, 30, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noordura Mohamed Din.

Muamar Gadaffi didakwa dengan niat untuk memajukan tujuan ideologi dan perbuatan itu yang boleh dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Syria.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Bukit Ara Para, Kampung Ketior Dalam, Mukim Senggang, di sini antara jam 2 petang hingga 4 petang pada 25 hingga 27 Disember lalu.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 130F(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara bagi tempoh sehingga 30 tahun dan denda.

Majistret tidak membenarkan tertuduh diikat jamin berikutan tiada peruntukan jaminan bagi kesalahanan itu.

Tertuduh diwakili peguam Mohd Fitri Asmuni manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar.



Mahkamah menetapkan 18 Julai ini bagi sebutan semula kes.

Sementara itu dua lagi rakannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas kesalahan memiliki dua pucuk senapang dan peluru berjumlah 504 dari pelbagai jenis dan saiz.

Penoreh getah, Mohd Amin Abdul Rahman, 29, dan pekerja ladang, Abdul Rahman Ramli, 46, mengaku bersalah atas semua tuduhan itu.

Mohd Amin didakwa memiliki tanpa kebenaran selaras senapang buatan sendiri jenis 0.22, pertuduhan kedua kerana memiliki 41 peluru jenis 0.22 tanpa lesen dan permit yang sah, manakala pertuduhan ketiga, memiliki tujuh peluru jenis 12 Gauge.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/12

No comments:

Post a Comment