Search This Blog

Wednesday, July 23, 2014

Digilis kereta silih berganti


Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut akibat digilis beberapa kenderaan selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya ketika cuba mengelak kerbau, di Jalan Ipoh - Lumut, berhampiran Lahat, di sini, lewat malam kelmarin.

Sebelum kejadian kira-kira jam 11.45 malam, Noor Muhammad Saffry Mohamad Jemuri, 21, dalam perjalanan dari arah Ipoh ke Lumut dan sebaik sampai di tempat kejadian dipercayai cuba mengelak seekor kerbau sebelum terbabas dan jatuh atas jalan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata, sejurus selepas terjatuh mangsa dipercayai dilanggar dan digilis beberapa kenderaan dari arah belakang ketika mangsa dalam keadaan melintang di atas jalan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja, dikatakan dalam perjalanan pulang dari Ipoh ke tempat bertugas di Lumut dan sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa terbabas disebabkan cuba mengelak kerbau di atas jalan itu.

“Mangsa yang terbaring atas jalan kemudian dilanggar dan digilis beberapa kenderaan lain termasuk kereta Perodua Myvi dan Viva yang turut gagal mengelak mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Wan Shahruddin berkata, akibat perlanggaran itu mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk ada anggota badan yang berkecai serta mangsa maut di tempat kejadian.

“Susulan kemalangan itu, pemandu Myvi yang juga seorang peniaga berusia 26 tahun berasal dari Bota Kiri, dekat sini, membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan tindakan itu turut dilakukan pesara tentera berusia 59 tahun dari Seri Iskandar, di sini yang memandu kereta Viva.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mendapati, ketika kemalangan cuaca berada dalam keadaan baik dan jalan kering serta aliran trafik tidak sibuk.

“Keadaan jalan adalah lurus dan mempunyai dua hala, bagaimanapun kawasan persekitaran di laluan terbabit adalah gelap tanpa lampu jalan,” katanya.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment