Search This Blog

Monday, July 21, 2014

Diesel bersubsidi 21,000 liter dirampas


BERUAS 20 Julai - Sebanyak 21,000 liter diesel bersubsidi yang cuba diseludup ke negara jiran berjaya dirampas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak dalam satu serbuan di Bagan Panchor, di sini hari ini.
Dalam serbuan pada pukul 4 pagi melalui Op Titik, KPDNKK turut merampas sebuah lori tangki yang digunakan sindiket terbabit dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM207,540.
Difahamkan, modus operandi yang digunakan sindiket itu ialah dengan membeli bahan api itu daripada bot nelayan tempatan sebelum menyimpan dalam sebuah tangki berkapasiti 27,000 liter.
Selepas tangki itu penuh, minyak tersebut akan dipindahkan ke dalam sebuah lori tangki sebelum diseludup melalui sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah ke negara jiran.
Timbalan Pengarahnya KPDNKK Perak, Mohd. Khalis Kasim berkata, pihaknya berjaya menggagalkan kegiatan sindiket tersebut untuk menyeludup sebanyak 21,000 liter diesel bersubsidi yang disimpan di sebuah pelantar nelayan di situ.
"Kita juga berjaya menahan seorang pemandu lori dan seorang penjaga masing-masing berusia 40-an ketika sedang mengepam minyak tersebut ke dalam lori dari tangki tersebut.
"Mereka bijak menyembunyikan kegiatan itu dengan berselindung di sebalik pusat pengumpulan diesel yang terletak di kawasan penempatan nelayan yang sesak," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menahan kedua-dua lelaki itu bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, beliau berkata, setakat semalam pihak KPDNKK negeri berjaya mematahkan sebanyak 26 kes penyelewengan diesel sejak Ops Titik bermula pada 15 Mei lalu.
"Sebanyak 12 kes dicatatkan di Manjung, Gerik (5), Taiping (3) dan masing-masing dua kes di Ipoh, Parit Buntar dan Tapah dengan nilai rampasan tersebut mencecah lebih RM1.03 juta," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140721/je_05/Diesel-bersubsidi-21000-liter-dirampas#ixzz383LDFdEZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment