Search This Blog

Wednesday, July 23, 2014

Diberkas selepas dua tahun


WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Julai 2014


TELUK INTAN - Seorang suspek kes ragut dan samun berjaya diberkas selepas diburu polis lebih dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penahanan suspek lelaki berusia 22 tahun di kenali dengan panggilan Itik itu, diyakini dapat menyelesaikan sebanyak 32 kes ragut dan samun sekitar daerah ini.

Menurutnya, suspek yang juga penagih dadah dan penganggur ditahan di sebuah rumah, di Kampung Padang Tembak, di sini pada 8 Julai lalu selepas pihaknya membuat intipan serta maklumat orang awam.

“Kami menahan suspek kira-kira jam 11.30 malam di  rumah berkenaan.

“Penahanan itu membawa kepada penemuan beberapa barangan hasil aktiviti ragut dan samun dalam semak di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Taman Bersatu II, di Jalan Kampung Banjar, di sini,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, semalam.

Mohd Shuhaily berkata, antara barangan ditemui adalah sebuah beg sandang, beg wang kecil, sebuah I-pad, kad kredit dan kad diskaun pasar raya.

Jelasnya, siasatan mendapati suspek melakukan aktiviti jenayah secara berseorangan tanpa mengira waktu dan tempat.

“Dia kini direman untuk membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment