Search This Blog

Friday, July 11, 2014

‘Dia mahu kahwin’


Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Seorang bakal pengantin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita ketika menyamun mangsa, Ahad lalu.

Syahfadhil Mulop, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azwarnida Affandi.

Mengikut pertuduhan, dia bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan itu terhadap B Chandera, 51, dengan meragut seutas rantai leher emas dan seutas rantai perkahwinan milik mangsa di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Cheras, dekat sini, jam 12 tengah hari Ahad lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan ikat jamin kerana tertuduh akan berkahwin tiga bulan lagi dan kini menolong ibunya menjual nasi kerabu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran tempat tinggal setiap bulan.

Sebutan kes ditetapkan 11 Ogos ini.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/11

No comments:

Post a Comment