Search This Blog

Wednesday, July 23, 2014

Dedah nama 4 tauke judi haram



AZWANDDIN Hamzah (dua dari kanan) menyerahkan memorandum berkaitan isu judi haram kepada Mohd. Fadzil Ismail dalam majlis penyerahan bukti lokasi serta dalang mesin judi slot di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN
KUALA LUMPUR 22 Julai - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini mendedahkan nama empat individu termasuk dua orang berpangkat Datuk yang merupakan tauke kepada kira-kira 10,000 premis judi yang beroperasi secara haram di seluruh negara.
Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, pendedahan itu dilakukan ekoran pihaknya mendapati kegiatan judi haram masih 'kebal' dan beroperasi seperti biasa walaupun pelbagai pihak telah mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan memeranginya.
Beliau berkata, susulan itu JMM menyerahkan senarai nama individu-individu terlibat yang merupakan ahli perniagaan beserta maklumat berkaitan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diambil tindakan segera.
"Berdasarkan sumber yang diperoleh, tauke-tauke ini sanggup membayar mana-mana individu sebagai 'kambing hitam' untuk 'bermalam' di dalam lokap sebanyak RM300 ke RM400 bagi melindungi mereka. Sehingga kini permainan wayang amat jelas kerana tiada seorang pun tauke didakwa.
"Di sini kami serahkan maklumat serta modus operandi sindiket berkenaan yang mempunyai logo atau tanda tertentu bagi membezakan hak milik perniagaan dan kawasan jajahan mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum berkaitan isu judi haram kepada PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Memorandum kali kedua daripada JMM itu diserahkan kepada pegawai Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), Asisten Supritendan Mohd. Fadzil Ismail dan dihadiri oleh kira-kira 50 ahli JMM.
Mengulas mengenai logo yang digunakan oleh sindiket terbabit, Azwanddin berkata, antara tanda yang digunakan oleh sindiket berkenaan adalah logo 'Dilarang merokok', Ferrari, Digi-Celcom serta kartun Fido Dido yang ditampal di setiap pintu premis.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak berkuasa harus memperhalusi maklumat yang diperoleh daripada pemantauan kira-kira 3,000 ahli JMM di seluruh negara itu.
Katanya, sebelum ini pihaknya telah mengemukakan satu memorandum yang mengandungi segala maklumat, bukti serta gambar berhubung kegiatan mesin judi haram termasuk satu lokasi premis terletak berdekatan sebuah balai polis.
"Walaupun sebelum ini desakan dilakukan, PDRM tidak begitu serius untuk menangkap dan mendakwa tauke ini seolah-olah mereka sudah sekian lama terikat dengan perjanjian bersama sindiket ini," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140723/je_07/Dedah-nama-4-tauke-judi-haram#ixzz38F2s8ycv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment