Search This Blog

Tuesday, July 15, 2014

Dadah: Warga Nigeria dihukum gantung






SHAH ALAM 14 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang bekas pembantu kedai warga Nigeria selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah seberat hampir setengah kilogram, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Ikenna Livinus Ibeneme, 29, selepas pembelaan tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim tersebut menyatakan mahkamah menerima keterangan tertuduh bahawa dia merupakan seorang buta huruf.

"Bagaimanapun, awak bukanlah seorang yang bodoh sehingga tidak mengetahui bahan yang ditelan ialah dadah," kata hakim tersebut.

Tertuduh dalam keterangannya di peringkat pembelaan mendakwa 59 biji ketulan yang ditelan ialah sejenis makanan ringan tradisi di negara asalnya yang dipanggil bitter cola.

Mengikut pertuduhan, Ibeneme didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 497.9 gram kira-kira pukul 11.30 malam, 17 Februari 2012 di Kaunter Pemeriksaan Kastam, Tingkat 3 Bangunan Terminal Utama (MTB), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sepanjang perbicaraan, seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Iswa Tonie manakala peguam bela, James George hanya memanggil tertuduh untuk membuktikan kesnya di peringkat pembelaan.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140715/ma_06/Dadah-Warga-Nigeria-dihukum-gantung#ixzz37UDIcp2Q
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment