Search This Blog

Tuesday, July 15, 2014

Cubaan seludup 42,800 liter diesel, petrol tumpas


ANGGOTA Pasukan Polis Marin menunjukkan lori yang digunakan untuk memindahkan diesel ke lori tangki lain hasil serbuan di sebuah stor haram di Mergong Tengah, Jalan Putra, Alor Setar, Kedah, kelmarin. - UTUSAN/Adilah Azhari
ALOR SETAR 14 Julai - Sebanyak 42,800 liter petrol dan diesel yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran berjaya dirampas dalam serbuan Pasukan Polis Marin (PPM) Kedah/Perlis ke atas sebuah stor haram di Mergong Tengah, Jalan Putra dekat sini semalam.
Dalam serbuan pukul 4 petang itu, tiga lelaki warga tempatan turut ditahan.
Menurut Pegawai Pemerintah PPM Kedah/Perlis, Asisten Supritendan Rodzi Abu Hassan, semasa serbuan dijalankan ketiga-tiga lelaki berkenaan sedang memindahkan petrol dari sebuah lori tangki ke sebuah lori tangki lain.
"Dianggarkan keseluruhan petrol dan diesel tersebut bernilai kira-kira RM87,780.
"Ini kali kedua serbuan dilakukan di kawasan ini setelah pada 14 Jun lalu, kami berjaya melumpuhkan kegiatan seperti ini di sebuah bengkel jentera berat yang terletak dalam kawasan sama melibatkan 20,000 liter petrol dan diesel dirampas," katanya di lokasi serbuan itu.
Kata Rodzi, bekalan petrol dan diesel berkenaan dipercayai mahu dihantar ke sebuah gudang haram di kawasan sempadan sebelum diseludup ke Thailand.
"Kami percaya sindiket ini mendapatkan bekalan daripada depot minyak berhampiran. Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan," ujarnya.
Menurut Rodzi, jumlah keseluruhan melibatkan petrol, diesel, dua buah lori tangki, dua tangki simpanan dan mesin pam dianggarkan bernilai RM552,570.
"Pekerja stor haram dan dua pemandu lori tangki yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya sambil memberitahu kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk siasatan lanjut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140715/je_03/Cubaan-seludup-42800-liter-diesel-petrol-tumpas#ixzz37UE6m6Yj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment