Search This Blog

Sunday, July 27, 2014

Cubaan rompak kapal gagal


JOHOR BAHRU 26 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan sekumpulan tujuh lelaki bersenjata api untuk merompak sebuah kapal yang membawa minyak di perairan Pengerang, Kota Tinggi, dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.40 malam itu, seorang anak kapal warga Indonesia cedera parah setelah ditembak di bahagian lehernya.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata, kejadian itu berlaku ke atas kapal MT Jixiang yang didaftarkan di Ulan Bator, Mongolia, di kedudukan 4.5 kilometer dari Barat Laut, Teluk Rumania.
Menurutnya, sejurus menerima maklumat, dua bot serta sebuah kapal Maritim Malaysia dikerahkan ke lokasi kejadian dan semasa menghampiri kapal berkenaan, kumpulan perompak itu bertindak melarikan diri.
"Mereka dipercayai melarikan diri menghala ke Pulau Lima. Pihak kami cuba mengejar tetapi mereka berjaya menghilangkan diri di kawasan perairan negara jiran.
"Pemeriksaan mendapati seorang anak kapal cedera dan mangsa dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan lanjut. Turut ditemui dua pucuk pistol dan sebilah parang ditinggalkan perompak yang disyaki warga Indonesia berdasarkan percakapan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Amran, siasatan mendapati kapal tersebut membawa 14 anak kapal yang terdiri daripada tujuh warga Myanmar, Indonesia (6) dan China (1).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140727/je_02/Cubaan-rompak-kapal-gagal#ixzz38cQjaFt2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment