TAMPIN - Kejadian cermin kereta pecah di Kampung Baru Tampin, di sini semakin berleluasa sejak kebelakangan ini sehingga mengundang kebimbangan penduduk di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung terbabit, Peter Yoong Mok berkata, kejadian terbaru berlaku pagi kelmarin membabitkan cermin sebuah kereta jenis Proton Gen2 yang diletakkan di luar.

Malah, dalam kejadian itu, mereka turut menjumpai batu dipecayai digunakan untuk memecahkan cermin terbabit.

Menurutnya, pemilik kereta itu, Pang Chia Fun, 37, hanya menyedari cermin kereta yang baru dibelinya pecah kira-kira jam 6 pagi.

"Bulan lepas dua kereta turut dipecahkan cerminnya. Kita jangka ia dilakukan kumpulan sama membabitkan beberapa kawasan penempatan di sekitar ini.

“Oleh itu, kita harap agar pihak polis akan dapat membuat pemantauan dari masa ke semasa bagi memastikan masalah ini tidak akan berulang,” katanya di sini, semalam.