Search This Blog

Sunday, July 27, 2014

Cedera ditembak lanun


Kota Tinggi: Tujuh lelaki bersenjatakan pistol dan parang melarikan pelbagai barangan berharga milik kru sebuah kapal tangki dalam kejadian rompakan di 2.5 batu nautika, barat laut Teluk Ramunia di Pengerang, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.40 malam, seorang anak kapal MT Jix Lang yang juga warga Indonesia dan belum dikenal pasti identitinya cedera selepas ditembak di leher oleh anggota kumpulan terbabit. 
Ketua Penguat Kuasa Maritim Tanjung Sedili Kapten Maritim Amran Daud berkata, kapal tangki itu berdaftar di Ulan Bator, Mongolia dan membawa muatan Marine Gas Oil (MGO) sebelum diceroboh tujuh lelaki. 

“Hasil maklumat diterima, dua bot dan sebuah kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diarah ke lokasi kejadian.
Foto
KRU kapal yang cedera diberi rawatan kecemasan.

“Kami cuba mengejar bot dinaiki lanun terbabit yang menghala ke arah Pulau Lima, tetapi mereka menghilangkan diri ke kawasan perairan negara jiran,” katanya.

Menurutnya, apabila anggota APMM menaiki MT Jix Lang, pihaknya mendapati seorang kru berusia 30-an cedera ditembak. 

“Kami turut menemui dua pistol dan parang ditinggalkan lanun ketika mereka melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kami. 

“Hasil siasatan terhadap kru kapal, kami percaya lanun terbabit adalah warga Indonesia berdasarkan dialek mereka.,” katanya. 

Menurut Amran, pihaknya yakin motif utama kumpulan itu adalah untuk merompak muatan MGO, namun gagal. 

Katanya, lanun terbabit hanya sempat melarikan barangan peribadi milik kru seperti telefon bimbit. 

“Ketika kejadian, 14 kru berada di atas kapal membabitkan enam warga Indonesia, Myanmar (7) dan satu dari China. Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi untuk diberi rawatan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

No comments:

Post a Comment