• NoorzainyNoorzainy

BESUT- Seorang lelaki cedera selepas dibelasah penduduk kampung akibat dipercayai memecah masuk sebuah rumah dan melarikan sebuah mesin gergaji rantai dalam kejadian di Kampung Pa Da Malik dekat Alor Lintah, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, suspek berusia 29 tahun diberkas sepasukan anggota polis di rumahnya di Kampung Pak Wong selepas dimaklumkan orang ramai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, sebelum itu, pemilik mesin gergaji tersebut yang pulang ke rumahnya di Kampung Pak Da Malik kira-kira jam 8.30 malam mendapati dinding belakang rumahnya telah pecah.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati keadaan di dalam rumahnya berselerak sebelum mangsa  yang berusia 34 tahun menyedari sebuah mesin gergaji yang berharga kira-kira RM750 hilang.

“Mangsa sebelum itu meninggalkan rumahnya jam 3.30 petang dalam keadaan berkunci, namun terkejut setelah pulang apabila mendapati rumahnya dipecah masuk.

“Akibat kejadian itu mangsa bersama penduduk dikatakan telah mengesan suspek dan pergi ke rumah suspek yang tinggal di kampung sebelah (Pak Wong),” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa dan penduduk kampung kemudian berjaya menangkap suspek bersama mesin gergaji tersebut dalam rumahnya.

Katanya, ketika menangkap suspek, penduduk dikatakan telah memukul kaki suspek sehingga menyebabkan kecederaan.

"Polis yang dimaklumkan perkara itu telah pergi ke rumah suspek dan mendapati  suspek dalam keadaan terbaring dengan kakinya cedera sebelum dihantar ke Hospital Besut.

"Suspek kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan," katanya.

Beliau berkata, suspek sudah dibenarkan keluar hospital dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan mencuri.