Search This Blog

Sunday, July 6, 2014

Cabut lari digertak wanita


Kuala Lumpur: Tindakan berani seorang wanita menggertak dan mengambil gambar dua penjenayah cuba mencuri kenderaan yang menyamar sebagai pekerja agensi tarik kereta menyebabkan suspek melarikan diri.

Dalam kejadian jam 2 petang semalam, mangsa yang berusia 32 tahun hampir dirompak penjenayah ketika berada di kawasan meletak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Selayang, Gombak.


Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zeti, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang memandu kereta Perodua Kelisa bersendirian untuk membeli barang dapur.

Menurutnya, kereta dipandunya secara tiba-tiba dipintas dan dihadang sebuah kereta Perodua Viva dinaiki dua suspek terbabit.


Dia berkata, dua lelaki yang dianggarkan berusia pertengahan 30-an itu secara tiba-tiba mengarahkannya keluar daripada kenderaan dan menyerahkan kunci kereta.


“Seorang suspek memberitahu bahawa dia ditugaskan pihak bank untuk merampas kereta itu kerana saya gagal membayar ansuran bulanan. “Saya yang terkejut dengan arahan lelaki itu terus mengajaknya berbincang di pintu masuk pasar raya itu. Saya berasa sangsi kerana kereta itu tidak lagi terikat dengan pinjaman bank berikutan semua baki ansuran sudah dijelaskan,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Sentul di sini, semalam.

Tidak puas hati dengan tindakan suspek yang cuba memperdayakannya, Zeti meminta suspek menunjukkan surat arahan dari bank bagi menarik kereta itu selain memberitahu nama pemilik sebenar kenderaan dipandu.


“Malangnya suspek gagal menunjukkan sebarang bukti dokumen selain memberitahu nama sebenar pemilik kereta ini,” katanya, Bagaimanapun, tembelang kedua-dua penjenayah terbongkar apabila seorang suspek berpura-pura menelefon seorang `pegawai bank’ dan bertutur dalam bahasa Tamil.



“Dia mendakwa mendapatkan maklumat daripada pegawai bank yang mengarahkan kereta saya ditarik. Namun saya tambah pelik apabila dia memberitahu bahawa pegawai bank itu bernama Faizal sedangkan dia berbual dalam bahasa Tamil.


“Saya kemudian bertindak berani mengeluarkan telefon bimbit dan merakam gambar suspek dan kereta dipandu. Tindakan saya itu menyebabkan penjenayah tersentak seketika,” katanya.


Terkejut dengan tindakan mangsa, suspek kemudian terus melarikan diri dari lokasi kejadian.


Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R. Munusamy ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan berkata siasatan lanjut akan dijalankan pihaknya berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

No comments:

Post a Comment