Search This Blog

Thursday, July 31, 2014

Budak maut angkara mercun



ABDUL Rahman Endot menceritakan kejadian anaknya, Mohd. Hafi Rayan yang maut terkena mercun di Simpang Renggam, Johor, semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN
KLUANG 30 Julai - Ketika masyarakat Islam di negara ini bergembira menyambut kedatangan Syawal, kemeriahan tersebut tidak dirasai keluarga Abdul Rahman Endot, 43, yang kehilangan anak bongsu mereka angkara mercun pada hari pertama Aidilfitri di Simpang Renggam di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah hari itu, mangsa, Mohd. Hafi Rayan berada dalam dakapan bapanya yang ketika itu mengikuti rombongan marhaban ke rumah jiran di Kampung Ithnin Maarof sebelum sebiji mercun meletup di hadapan mereka.
Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku sewaktu dia sedang meletakkan motosikalnya di bawah pokok durian dan menyebabkan kecederaan parah di bahagian dada, muka dan tangan kiri anaknya itu sementara dia sendiri mengalami kecederaan di bibir, leher serta koyak pada gegendang telinga kiri.
"Ketika kejadian, saya hendak meletakkan motosikal sebelum secara tiba-tiba sebiji mercun jatuh di hadapan anak saya dan meletup. Kejadian berlaku dengan pantas sebelum saya dapati bahagian dada kiri anak saya terkoyak sebesar enam sentimeter," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Hafi Rayan disahkan meninggal dunia pada pukul 1.17 petang sewaktu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Renggam di sini dan mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom sebelum dikebumikan pada sebelah malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Haji Ithnin Maarof.
Menurut Abdul Rahman, pada hari kejadian, anaknya bangun tidur awal dan berkeras mahu mengikutnya menyertai rombongan marhaban yang merupakan tradisi tempatan setiap kali sambutan Aidilfitri.
"Saya reda dengan kehilangan anak ketiga saya itu, namun pada masa sama berasa terkilan kerana sehingga kini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab. Saya tidak mahu menuduh sesiapa, tetapi saya amat berharap individu yang bertanggungjawab akan mengaku salah dan menjernihkan keadaan.
"Buat waktu ini, sukar untuk saya memaafkan individu terbabit, saya serahkan perkara ini kepada pihak polis," katanya yang bertugas sebagai seorang juruteknik di Pasir Gudang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140731/je_03/Budak-maut-angkara-mercun#ixzz38zd68dfd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment