• Air parit yang tidak dijamin kebersihannya terpaksa digunakan penduduk dalam melakukan kerja-kerja harian mereka.Air parit yang tidak dijamin kebersihannya terpaksa digunakan penduduk dalam melakukan kerja-kerja harian mereka.

GUA MUSANG - Hampir 300 penduduk di Kampung Mentara Lama, dekat sini, terpaksa menggunakan air parit berikutan kemudahan bekalan air yang terputus sejak tiga bulan lalu masih belum diambil tindakan.

Sinar Harian difahamkan, aduan telah pun dibuat penduduk namun tidak mendapat respons daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Penduduk, Norsaziera Mohamad, 22, berkata, dia kerap menghubungi AKSB bagi menyatakan kesulitan yang dihadapi, namun masih tiada tindakan daripada pihak terbabit.

“Kami kecewa dengan apa yang berlaku, bayangkanlah kami terpaksa menghadapi kesulitan ini pada bulan Ramadan.

“Kami terpaksa juga mandi dan membuat kuih raya menggunakan air parit yang tidak terjamin kebersihannya,” katanya.

Bagi Wan Maisarah Wan Harun, 30, pula mendesak pihak pengurusan tertinggi AKSB turun padang untuk melihat sendiri kesulitan yang dihadapi mereka.

Katanya, boleh dikatakan sepanjang hari penduduk berkumpul di parit berdekatan untuk mengangkut air bagi kegunaan di rumah khususnya memasak.

“Sepatutnya AKSB menghantar air dengan lori tangki bagi keperluan penduduk jika keadaan itu berlarutan, namun amat  tiada tindakan sedemikian dilakukan,” katanya.