• Bendera Israel dibakar pada Himpunan Solidariti Gaza anjuran DDPK dan AMK Tanah Merah.Bendera Israel dibakar pada Himpunan Solidariti Gaza anjuran DDPK dan AMK Tanah Merah.

TANAH MERAH - Kira-kira 100 orang mengadakan perhimpunan secara aman di pekarangan Masjid Mukim Alor Pasir, di sini, kelmarin, bagi membantah serangan kejam rejim Zionis ke atas Gaza, Palestin.

Dengan laungan ‘ALLAHU Akbar’ serta membawa kain rentang yang menyokong Palestin dan mengutuk Israel, perhimpunan itu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim rejim Zionis terhadap penduduk Genting Gaza.

Bantahan yang diadakan selepas solat Jumaat itu anjuran bersama Pemuda Pas kawasan dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) kawasan itu.

Exco Pemuda Pas Kelantan, Mohd Shazuwan Che Hamid berkata, serangan kejam yang dilakukan ketika umat Islam menyambut Ramadan itu membuktikan kerakusan rejim Zionis yang ingin menunjukkan kehebatan mereka.

“Jika kerajaan Zionis Israel berperikemanusiaan, mereka sepatutnya memberi peluang kepada rakyat Palestin untuk beribadat sempena bulan mulia ini tetapi mereka tetap melakukan serangan,” katanya, kelmarin.

Turut serta pada Himpunan Solidariti Gaza itu Ketua Pemuda Pas  kawasan Tanah Merah, Mohd Azmi Mat Zain dan Ketua AMK Tanah Merah, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran.

Serangan Israel terhadap Gaza ketika umat Islam menyambut Ramadan sehingga kini mengakibatkan lebih 200 penduduk Palestin terutama orang awam terkorban dan hampir 2,000 orang cedera.

Tambah Mohd Shazuwan, inisiatif AMK Tanah Merah bergabung dengan Pemuda Pas dalam menjayakan himpunan itu adalah tindakan segera bagi menyatakan kesepakatan kepimpinan anak muda di peringkat kawasan.

“Kami di peringkat kawasan bersependapat dengan rakyat negara ini, malah seluruh dunia supaya peperangan ini dihentikan dan menyelamatkan bumi Gaza dari serangan kejam rejim Zionis,” katanya.

Mohd Hafidz pula berkata, Kampung Alor Pasir dipilih lokasi himpunan itu kerana isu tersebut patut sampai kepada masyarakat luar bandar dan bukan hanya warga bandar atau golongan profesional.

“Soal kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin ini isu sejagat, bukan sahaja dari segi mencemari bulan Ramadan tetapi juga dari aspek sifat kasihan belas sebagai manusia.

“Kerakusan rejim Zionis ini melambangkan Israel ingin menjadi kuasa dunia, jadi saya mohon seluruh rakyat Tanah Merah bersama kami menyatakan bantahan terhadap kekejaman Israel dan juga Amerika yang ‘merestui’ serangan tersebut,” katanya.