• Keadaan kereta Perodua Kancil yang dinaiki kesemua mangsaKeadaan kereta Perodua Kancil yang dinaiki kesemua mangsa

GEMAS – Seorang bayi berusia setahun tiga bulan maut tercampak selepas kereta dinaiki lima sekeluarga terbabas ke bahu jalan dan merempuh tiang papan tanda, sebelum terbalik masuk ke dalam semak di Kilometer 42.8 Jalan Tampin-Gemas di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.25 pagi itu, Muhammad Amir Zikri Abdullah maut di tempat kejadian, manakala abangnya, Norhakimi Fakihin Abdullah, 7, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, petang semalam.

Kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan bersama ibu saudaranya, Zulikha Yahya, 26, dan neneknya, Noraini Mohd Yusuf, 55, dari Shah Alam, Selangor, menuju ke Segamat, Johor.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan jenis Perodua Kancil dinaiki keluarga berkenaan terbabas ke kiri jalan sebaik tiba di persimpangan masuk ke Jelai.

Beliau berkata, Zulikha yang memandu kereta cedera di tangan kanan, sementara Noraini mengalami luka-luka di muka, kepala dan badan. Kedua-duanya dikejarkan ke hospital berdekatan bagi rawatan lanjut.

"Mayat Muhammad Amir pula dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat. Norhakimi dihantar di  Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, bagaimanapun dirujuk kepada Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban. Namun, mangsa dilaporkan meninggal dunia petang
semalam.

"Manakala seorang lagi adik-beradik mangsa dikenali sebagai Nurfahrin Fakihin Abdullah, 6, hanya cedera ringan," katanya.

Susulan kejadian itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

Mangsa dikeluarkan oleh orang awam dan dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjut.

Difahamkan, ibu kepada kanak-kanak malang itu kini berada di Scotland.

Sementara itu, adik Noraini, Ramlah Mohd Yusuf, 51, berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada kakaknya yang memberitahu mereka terbabit dalam kemalangan.

Menurutnya, sepatutnya pada tahun ini kakaknya itu tidak pulang beraya di kampung, namun akhirnya merubah fikiran pada malam sebelum kejadian dan memaklumkan menerusi WhatsApp.

“Sebenarnya, apabila dia beritahu nak pulang, saya tidak sedap hati kerana sejak seminggu lalu saya sering terbayangkan kereta Kancil biru yang dinaiki mangsa.

“Entah kenapa saya asyik terbayang dan termenung apabila diberitahu akan pulang. Malah, dada saya juga berdebar-debar," katanya.

Menurutnya, dia sepatutnya berjumpa dengan arwah Muhammad Amir pada hari raya tahun lalu dan ketika itu dia masih lagi kecil.

"Kini kami menunggu kepulangan ibunya yang bekerja dengan syarikat penerbangan di Scotland. Ibunya sudah enam bulan bekerja di sana dan terkejut dengan kejadian ini," katanya.