Search This Blog

Saturday, July 12, 2014

Bakal pengantin nafi cederakan mangsa ragut


2014/07/11
Kuala Lumpur: Seorang bakal pengantin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan mendatangkan cedera terhadap seorang wanita ketika samun, Ahad lalu. Syahfadhil Mulop, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Azwarnida Affandi.

Dituduh ragut 2 rantai emas

Tertuduh yang membantu ibunya menjual nasi kerabu, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas, mendatangkan kecederaan terhadap B Chandra, 51, dengan meragut dua rantai leher emas termasuk rantai perkahwinan milik mangsa. Kesalahan didakwa dilakukan di tepi jalan berhampiran Pasaraya Checkers, Jalan Cheras di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, 6 Julai lalu.

Bagi pertuduhan itu, Syahfadhil didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie, tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh berikutan kesalahan dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud memohon mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh atas alasan anak guamnya akan melangsungkan perkahwinan tiga bulan lagi. Katanya, tertuduh tinggal bersama keluarga dan tiada kemungkinan untuknya tidak hadir ke mahkamah.

Azwarnida membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan. Mahkamah menetapkan 11 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

No comments:

Post a Comment