Search This Blog

Friday, July 4, 2014

ASP bebas tuduhan terima rasuah


Shah Alam: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, membebaskan seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Asisten Superintendan (ASP) daripada tuduhan menerima rasuah membabitkan wang tunai sebanyak RM4,000, empat tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim, Datuk Ghazali Cha selepas meneliti dokumen pendakwaan dan pembelaan yang dikemukakan kepada mahkamah.

Ghazali dalam penghakimannya menerima rayuan pembebasan perayu, Azmi Abdullah, 56, selepas berpuas hati dengan keterangan pembelaan yang dikemukakan.

Menurutnya, kreadibiliti saksi pendakwaan yang dipanggil dalam kes berkenaan boleh dipertikaikan kerana wujud elemen yang meragukan dalam keterangan yang diberikan kepada mahkamah.

“Saya berpuas hati dengan keterangan rayuan yang dikemukakan selain pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

“Jadi saya membebaskan perayu dan wang denda sebanyak RM20,000 serta wang jaminan sebanyak RM8,000 dikembalikan semula,” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Lokman Kassim manakala Azmi diwakili peguam bela Salim Bashir.

Sepanjang perbicaraan, seramai 12 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Azmi pada Ogos 2012 dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda sebanyak RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas didapati bersalah atas tuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Azmi ketika kejadian menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dituduh menerima suapan sebanyak RM4,000 bagi meringankan kesalahan seorang lelaki yang ditahan kerana memiliki dadah.

Suapan itu didakwa sebagai suatu dorongan untuk dia menukar kesalahan yang lebih ringan terhadap rakan Ng, Mong Lin Chi yang ditangkap kerana memiliki satu tiub straw berisi dadah ketamin mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menukar ujian saringan air kencing yang positif dadah kepada negatif di bawah seksyen 15(1)(a) akta sama.

Azmi didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

No comments:

Post a Comment