Search This Blog

Friday, July 4, 2014

Anggota 'Geng Palembang' dijel


ANGGOTA polis mengiringi warga Indonesia yang dikenali sebagai Irfan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan memiliki pelbagai barangan curi di Balik Pulau, Pulau Pinang, semalam.
BALIK PULAU 3 Julai - Seorang lelaki warganegara Indonesia yang merupakan ahli 'Geng Palembang' dihukum penjara setahun dan denda RM22,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas 22 pertuduhan memiliki pelbagai barangan curi, bulan lalu.
Majistret Muhammad Najib Ismail menjatuhkan kedua-dua hukuman itu terhadap tertuduh yang hanya dikenali sebagai Irfan, 38, berasal dari Jambi, Indonesia sebagai satu pengajaran kerana beranggapan hukuman denda atau penjara sahaja mungkin terlalu ringan ke atas tertuduh.
Ketika membacakan keputusannya, Muhammad Najib berkata, biarpun kini berada dalam fasa pertama Ramadan yang mempunyai rahmat, tetapi beliau terpaksa menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh berdasarkan apa yang telah dilakukan.
Bagi setiap pertuduhan, Irfan yang tidak diwakili peguam bela dihukum penjara setahun dan denda RM1,000, yang diperintah dijalankan serentak dari tarikh dia ditangkap pada 21 Jun lalu. Gagal membayar denda, tertuduh boleh dihukum penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan.
Mengikut kertas pertuduhan, Irfan didakwa memiliki 22 barang curi iaitu dua unit telefon bimbit Nokia, seunit telefon bimbit masing-masing jenama Samsung, Nine dan Tronton, satu beg komputer riba jenama Dell dan satu beg duit jenama LV.
Dia turut dituduh memiliki tiga beg galas, tiga beg kecil, tiga sarung telefon bimbit berlainan warna, dua bekas cermin mata bersama cermin mata, dua kad SIM DiGi berlainan nombor, sebuah fon telinga jenama Bidenuo dan pelbagai mata wang asing.
Kesemua barangan tersebut dipercayai merupakan barangan curi selepas tertuduh gagal memberi penjelasan yang munasabah bagaimana dia mendapatkan kesemua barangan itu.
Bagi kesalahan memiliki telefon bimbit Tronton dan sebuah beg kecil, Irfan didakwa melakukannya kira-kira pukul 11.30 malam, 21 Jun lalu di Jalan Tengah, Bayan Baru dekat sini.
Baki 20 barangan curi itu pula didakwa dimilikinya di sebuah rumah di Flat Jalan Tengah, Bayan Baru kira-kira pukul 3.45 pagi, 22 Jun lalu.
Semua pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Edward Chan mengikut Seksyen 29(1) Akta Undang-Undang Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140704/ma_04/Anggota-Geng-Palembang-dijel#ixzz36RiT9C8k
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment