• Mohd Zulkhairi (kanan) mewakili Basir menyerahkan bantuan kepada Mohamad.Mohd Zulkhairi (kanan) mewakili Basir menyerahkan bantuan kepada Mohamad.

KUALA NERUS - Ketibaan Syawal tahun ini seperti tidak bererti buat pasangan suami isteri Zaharah Dollah dan Mohamad Abd Rahman, 78, apabila anak sulung mereka menemui ajal setelah tercampak dari bot yang dinaikinya.
Kejadian dilaporkan berlaku selepas bot dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terlanggar batang kelapa sebaik menyusuri sungai di Jeti Merang, kelmarin.

Lebih menyedihkan, kejadian malang yang menimpa pekerja di Laguna Redang di Pulau Redang, Rushdi Mohamad, 38, berlaku ketika semua ahli keluarganya masih bergembira menyambut lebaran yang baru memasuki hari kedua.

Menceritakan detik menyedihkan itu, Zaharah, 63, berkata malam sebelum kejadian anaknya meminta dia mengejutkannya awal pagi kerana perlu menaiki bot seawal jam 6.30 pagi di jeti berkenaan.

“Makcik kejutkan dia kira-kira jam 6 pagi kerana dia menaiki bot pada jam 6.30 pagi, dan ketika itu dia tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik.     

“Bagaimanapun, sehari sebelum kejadian, iaitu pada pagi 1 Syawal, dia kurang bercakap berbanding hari-hari biasa sedangkan sebelum ini dia seorang anak yang sangat ramah.

“Malah, pada tahun ini juga dia telah memberikan duit raya kepada semua adik beradik yang lain.

"Sebelum ini, duit raya hanya diberikan kepada adik-adik yang belum berkahwin dan anak-anak saudara sahaja,” kata Zaharah menceritakan perihal anak sulung daripada sembilan beradik itu ketika ditemui di kediaman keluarga di Kampung Tengah Mengabang Telipot.

Menurut Zaharah, arwah yang masih bujang sempat berseloroh dengan ibu saudaranya sehari sebelum kejadian, mengenai dirinya yang mungkin tidak sempat berkahwin ketika diajukan mengenai hal tersebut.

“Meskipun sedih dengan kejadian yang menimpanya (Rushdi), apatah lagi dia seorang anak yang baik dan banyak membantu keluarga, namun makcik reda dengan pemergiannya,” katanya.

Menurutnya, Rushdi yang telah lebih 10 tahun bekerja dengan syarikat yang berpangkalan di Pulau Redang itu, merupakan seorang yang disenangi bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga dan sanak saudara, malah rakan-rakannya yang lain.

Beliau berkata, meskipun Rushdi membesar dan tinggal bersama neneknya di Mengabang Telipot, Tepuh, hubungannya dengan ahli keluarga yang lain tetap rapat seperti biasa.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki berusia 38 tahun maut akibat tercampak keluar daripada bot yang hilang kawalan dan kemudian melanggar batang kelapa kira-kira lima minit berlepas dari jeti Merang.

Rushdi disahkan maut di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Supritendan Abdul Rahman Raja Mohamed memberitahu, dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa bersama tujuh yang lain difahamkan mahu ke Pulau Redang.                                  

Dalam pada itu, Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail menerusi pembantunya, Mohd Zulkhairi Saidi turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban.