Search This Blog

Wednesday, July 23, 2014

Ahli perniagaan hadapi 72 tuduhan menipu babit RM107,700


2014/07/23
IPOH: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap 72 pertuduhan menipu kononnya mampu menawarkan barangan lelongan kastam membabitkan wang tunai RM107,700.

Anuar Shaari, 60, didakwa menipu empat individu berlainan dihadapkan di Mahkamah Majistret berasingan iaitu masing-masing kendalian Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab dan Haslinda A Raof.


Tertuduh yang didakwa melakukan kesalahan antara Oktober 2007 hingga Mac lepas itu dikenakan jaminan keseluruhan sebanyak RM50,000 dan kedua-dua mahkamah menetapkan kes disebut semula 22 Ogos ini.

Dalam prosiding di mahkamah kendalian Majistret Nur Melati Diana, lelaki itu dituduh menipu P Balakrishnan, 63, kononnya dia boleh mendapatkan barangan lelongan kastam, sehingga mangsa menyerahkan RM3,500 secara tunai.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di No 8G, Jalan Raja Perempuan Mazwin, Taman Rishah pada pukul 3 petang, akhir Julai 2013.

Dia juga dituduh menipu Balakrishnan dengan cara yang sama sehingga mangsa memasukkan wang berjumlah RM500 ke dalam akaun miliknya di Maybank cawangan Jalan Silibin pada 3.24 petang, 28 Julai 2013.

Sementara itu, dalam prosiding di mahkamah kendalian Haslinda, Anuar didakwa meminta RM7,000 daripada Ahmad Chin Abdullah, 77, dengan menipu kononnya dia boleh mendapatkan barangan lelongan kastam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran berhampiran Public Bank cawangan Bercham pada Oktober 2013.

Di mahkamah yang sama Anuar turut didakwa melakukan 58 kesalahan menipu mangsa yang sama dengan cara yang sama, membabitkan transaksi wang tunai antara RM50 dan RM4,000 di dalam akaun Maybank tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Jalan Sultan Idris Shah di sini antara 3 Oktober 2013 dan 28 Disember tahun yang sama.

Tertuduh juga didakwa menipu Law Ah Chung @ Lai Lau Chiang, 80, sehingga mangsa menyerahkan wang sebanyak RM60,000 secara berperingkat-peringkat kononnya sebagai bayaran untuk mendapatkan kenderaan lelongan kastam.

Anuar didakwa melakukan kesalahan itu di No 2, Lengkok Bendahara Off Pasir Puteh di sini pada Oktober 2007.

Ahli perniagaan itu kemudiannya dibawa ke mahkamah kendalian Majistret Nur Melati Diana sekali lagi untuk didakwa dengan 10 pertuduhan menipu mangsanya Choo Cheng Chua, 56, dengan cara yang sama, sehingga Choo mendepositkan wang tunai antara RM50 dan RM1,200 ke dalam akaun tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Jalan Yang Kelsom di sini antara 12 Jan dan 9 Mac lepas.

Semua 72 pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan masing-masing dikendalikan Timbaan Pendakwa Raya, Muhammed Fauzi Md Yusof, Nurul Faridza Hamdan dan S Kavitha manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment