Search This Blog

Saturday, July 12, 2014

9 PATI tidak sempat beraya di kampung


KLANG 11 Julai - Hasrat sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia yang mahu pulang beraya di kampung halaman dengan menyeberangi Selat Melaka menggunakan bot tidak kesampaian apabila mereka ditahan di sebuah rumah kosong di Pelabuhan Klang malam tadi.
Mereka yang ditahan da­lam serbuan pada pukul 9.30 malam itu kesemuanya adalah lelaki berusia antara 17 hingga 43 tahun.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah atau pasport tamat tempoh.
"Serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam yang membuat aduan tentang kehadiran sekumpulan lelaki menginap di sebuah rumah setinggan kosong di Pelabuhan Klang sejak beberapa hari lalu.
"Hasil siasatan mendapati, mereka ditempatkan sementara di situ, sejak tiga hari lalu untuk dibawa ke pangkalan haram pagi ini ketika air pasang sebelum menaiki bot ke Tanjung Balai, Sumatera," katanya di sini hari ini.
Beliau menambah, siasatan mendapati mereka dikenakan bayaran antara RM600 hingga RM700 seorang untuk perjalanan selama empat jam menaiki bot ke Tanjung Balai.
Dalam perkembangan berkaitan, Kamarul Zaman memberitahu, pihaknya melancarkan Op Ramadan sejak 7 Julai lalu bagi memben­dung penyeludupan PATI.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140712/je_07/9-PATI-tidak-sempat-beraya-di-kampung#ixzz37Cemi6vU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment