Search This Blog

Friday, July 11, 2014

7 penjenayah dipercayai lari ke selatan Filipina


JALALUDDIN
KOTA KINABALU 10 Julai - Polis percaya tujuh lelaki bersenjata yang gagal menculik seorang pengusaha ikan dalam sangkar di pusat ternakan ikan berhampiran Kampung Bangau-Bangau, Semporna, Isnin lalu, telah melarikan diri ke kawasan Tawi-Tawi, Selatan Filipina.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan polis Filipina bagi mendapatkan maklumat mengenai kumpulan penjenayah itu.
"Setakat ini belum ada perkembangan baru," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan kuih raya daripada Parti Bersatu Sabah yang disampaikan oleh Presidennya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini.
Dalam kejadian 7 Julai itu, cubaan tujuh lelaki bersenjata terbabit untuk menculik seorang pengusaha di situ gagal apabila mendapati individu berkenaan tidak berada di pusat ternakan tersebut.
Bagaimanapun, cubaan culik itu telah bertukar menjadi insiden rompakan dan suspek berjaya mengambil beberapa barangan termasuk televisyen, dekoder Astro, beberapa peralatan serta kelengkapan rumah yang terdapat di pusat ternakan ikan dalam sangkar berkenaan.
Sementara itu, Pairin dalam ucapannya mengalu-alukan penstrukturan baharu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang akan menjamin keselamatan serta keharmonian berterusan negeri ini di masa hadapan.
"Perubahan di dalam pentadbiran ini dijangka memberi lebih banyak impak positif," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140711/je_03/7-penjenayah-dipercayai-lari-ke-selatan-Filipina#ixzz376oFYCSk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment