Search This Blog

Wednesday, July 23, 2014

4 lelaki acu pistol


Oleh Na’imah Mohamed

Shah Alam: Seorang pemilik pusat servis kenderaan mewah berdepan detik menakutkan apabila empat lelaki mengacukan pistol dan parang ke arahnya dalam kejadian samun di Seksyen U8, di sini, kelmarin.

Difahamkan, mangsa yang berusia 50 tahun baru menutup premis perniagaannya sambil ditemani isteri sebelum dihampiri empat lelaki yang menaiki motosikal Kawasaki RR.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa sedang mengunci pagar premis perniagaannya manakala isteri menunggu dalam kereta.

“Mangsa pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa kerana ada pengawal keselamatan ditempatkan di pondok berhampiran pusat servisnya, namun terkejut apabila dua daripada suspek meluru mengacukan sepucuk pistol dan parang menyebabkan dia terpaksa akur dengan permintaan penjenayah,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, suspek mengarahkan mangsa menyerahkan semua barang berharga dan melepaskan satu das tembakan ke udara sebelum meninggalkan tempat kejadian.

Katanya, mangsa kemudian menghubungi polis sebelum sepasukan anggota forensik tiba di tempat kejadian.

“Siasatan awal polis mendapati suspek melepaskan satu das tembakan ke udara dan tiada sebarang kecederaan dialami mangsa manakala jumlah kerugian adalah sebanyak RM800.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

No comments:

Post a Comment