Search This Blog

Friday, July 11, 2014

4 daerah di Perak dikenal pasti sarang judi haram


IPOH 10 Julai - Polis mengenal pasti empat daerah di negeri ini yang mempunyai bilangan premis judi haram yang tinggi berdasarkan serbuan dilakukan sejak Januari hingga bulan lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, daerah tersebut ialah Ipoh, Manjung, Taiping dan Hilir Perak.
Katanya, siasatan mendapati kebanyakan premis terbabit berselindung di sebalik perniagaan pusat hiburan keluarga dan didalangi oleh sindiket perjudian.
"Sejak Januari hingga Jun lalu, polis telah melakukan serbuan terhadap 1,410 premis perjudian. Daripada serbuan itu, sebanyak 3,642 rampasan pelbagai barangan untuk perjudian telah dibuat dengan me­libatkan 282 tangkapan.
"Tangkapan pula membabitkan seramai 235 penjaga premis dan 47 orang pengunjung. Pengunjung terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan profesion namun tangkapan dalam kalangan pelajar sekolah adalah paling rendah,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Dzuraidi, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan menjalankan serbuan di setiap premis perjudian yang dikenal pasti bagi melumpuhkan kegiatan haram tersebut.
"Tindakan agresif ini bagi memastikan semua yang terlibat dalam aktiviti 'wang segera' itu sama ada pengusaha dan kaki judi dapat diberkas," katanya.
Baru-baru ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mendedahkan sekurang-kurangnya 30 premis judi haram dikesan beroperasi di pekan kecil Langkap di Hilir Perak.
Jumlah itu agak mengejutkan bagi sebuah kawasan kecil di daerah Hilir Perak itu, membuktikan masalah judi haram semakin berleluasa.
Menurutnya, judi haram mendatangkan masalah dalam masyarakat kerana ada yang sanggup menjual harta benda seperti tanah dan kereta.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140711/je_05/4-daerah-di-Perak-dikenal-pasti-sarang-judi-haram#ixzz376oVWu1Z
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment