Search This Blog

Sunday, July 6, 2014

2 lelaki Myanmar dibunuh kejam



Salah satu mayat lelaki dipercayai warga asing yang ditemui dengan kesan tikaman berhampiran landasan kereta api di Kampung Jawa, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. - MINGGUAN/Munirah Tajudin
BUKIT MERTAJAM 5 Julai - Kes pembunuhan membabitkan warga asing khususnya dari Myanmar di daerah ini semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Terbaharu, mayat dua lelaki dipercayai dari negara itu ditemui pagi ini di tepi landasan kereta api di Kampung Jaya, Perai dekat sini, dalam keadaan mengerikan.
Menurut sumber polis, terdapat kesan kelaran pada leher manakala perut mangsa pula hampir terburai dipercayai akibat ditikam lebih daripada sekali.
"Mayat berkenaan ditemui oleh seorang lelaki tempatan kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum dia melaporkan kepada pihak polis.
"Pemeriksaan di lokasi kejadian kemudian menemukan satu lagi mayat tidak jauh dari mayat pertama dalam keadaan berlumuran darah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber itu seterusnya berkata, mayat pertama dipercayai seorang lelaki berusia 30-an dengan terdapat lapan kesan tikaman di dada, perut, lengan dan bahu. Mayat kedua pula mempunyai kesan kelaran di leher, tikaman di bahagian dada dan rusuk manakala perutnya terburai," katanya.
Katanya, kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya dekat sini, untuk bedah siasat.
"Selain itu, polis turut menemukan dua basikal milik mangsa yang dipercayai ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja," ujarnya.
Dalam kejadian bulan lalu, seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam di daerah ini selepas terlibat dalam pergaduhan sesama sendiri selain digemparkan de­ngan penemuan beberapa mayat dipercayai warga negara berkenaan sejak awal tahun ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor berkata, pihaknya tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat berkenaan.
"Ketika ini, usaha mengesan mereka yang terlibat sedang giat dijalankan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis meminta individu yang mempunyai maklumat supaya tampil untuk membantu siasatan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140706/je_01/2-lelaki-Myanmar-dibunuh-kejam#ixzz36dOmttET
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment