Search This Blog

Sunday, July 6, 2014

2 lelaki dibunuh, perut terburai


Butterworth: Mayat dua lelaki dipercayai warga asing yang mati ditikam, dengan seorang daripadanya dalam keadaan perut terburai, ditemui di landasan kereta api Kampung Jawa, Perai di sini, jam 9.15 pagi semalam.

Selain ditikam berkali-kali di beberapa bahagian badan, polis turut menemui kesan kelaran pada leher seorang daripada mangsa.


Mayat itu ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum melaporkannya kepada polis.

Sumber polis berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa berusia lingkungan 30-an dan ketika ditemui, kedudukan mayat tidak jauh antara satu dengan lain.


“Mayat pertama ada lapan kesan tikaman di dada, perut, tangan, belakang serta bahu kiri. Mangsa memakai baju biru, seluar coklat dan kasut keselamatan hitam.


“Mangsa kedua memakai kemeja coklat, seluar biru dan kasut keselamatan dikelar di leher selain ditikam di dada, rusuk manakala perutnya terburai,” katanya.

Polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang dari kerja di sebuah kilang ke asrama berhampiran.


Ia berdasarkan penemuan bekas makanan kosong berhampiran lokasi kedua-dua mangsa. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor mengesahkan berkaitan penemuan mayat berkenaan.



“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat. Motif kejadian masih disiasat, begitu juga dengan identiti kedua-dua mangsa.


“Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan. Kes pula disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

No comments:

Post a Comment