Search This Blog

Friday, July 11, 2014

2 lagi ditahan bantu siasatan kes bunuh model Estonia


JOHOR BAHRU 10 Julai - Polis hari ini menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan model sambilan warganegara Estonia yang ditemui mati di Pulau Rawa, Mersing dekat sini pada 1 Julai lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Hasnan Hassan berkata, kedua-dua lelaki berkenaan yang masing-masing berusia 27 hingga 30 tahun itu ditahan di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing, dekat sini pada pukul 12.30 tengah malam tadi.
"Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi, di sini untuk mendapat perintah reman dan mereka kini direman sehingga Rabu depan.
"Penahanan mereka bagi membantu siasatan kes berkenaan. Sehingga kini kita telah menahan tujuh orang," katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini.
Utusan Malaysia, difahamkan, mereka yang ditahan itu merupakan kenalan mangsa dan sebahagian pekerja pusat peranginan di pulau berkenaan.
Media hari ini melaporkan, Regina Soosalu, 30, dipercayai dibunuh pada hari sama dia tiba di pulau itu. Mangsa menetap di Kuala Lumpur dikatakan ke pulau tersebut untuk bercuti.
Mayat mangsa dikatakan ditemui dalam keadaan terapung oleh beberapa tetamu pusat peranginan di situ sebelum dibawa dengan sebuah bot ke hospital berdekatan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140711/je_08/2-lagi-ditahan-bantu-siasatan-kes-bunuh-model-Estonia#ixzz376pPh7SX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment