Search This Blog

Tuesday, July 15, 2014

2 kapten kapal didenda RM100,000 lakukan urus niaga diesel tidak sah


2014/07/15
KOTA TINGGI: Dua kapten kapal tangki warga asing dikenakan denda maksimum RM100,000 masing-masing oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dan melakukan urus niaga diesel secara tidak sah, Mei lalu.

Hasanul Idris, 44, dari Indonesia dan Kyaw Zay Yaa, 51, warga Myanmar, yang dituduh secara berasingan, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Salawati Djambari selepas tuduhan dibacakan.

Hasanul, Kapten MT Christine dituduh melakukan urus niaga borong dan runcit 280,191 liter diesel di dalam kapalnya tanpa lesen sah di Jeti TJ&TJ, Sungai Buah Besar, Pengerang pada pukul 11 pagi pada 19 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kyaw, Kapten Kapal MT TJ 99 pula didakwa melakukan kesalahan serupa membabitkan 248,506 liter diesel di perairan Tanjung Belungkor di sini pada 8.30 malam, 6 Mei lalu menurut Seksyen 22 (1) akta sama.

Kedua-dua seksyen itu membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tiga tahun jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman selain meminta maaf kepada kerajaan Malaysia.
Hakim Salawati memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar denda RM100,000 atau sebulan penjara dan kapal serta kargo mereka dilucut hak serta diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Sementara itu dalam satu lagi kes, Kapten Kapal MT Inter, Pan Bunk Long dari Thailand mengaku tidak bersalah atas tuduhan sama melibatkan 163,460 liter diesel di Jeti Mohamed Long, Tanjong Surat di sini pada 3.30 pagi, 6 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 21 akta sama.

Hakim Salawati membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Zamri Idrus diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan dua penjamin warga Malaysia, selain memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah serta perlu melapor diri dua kali sebulan di Balai Polis Gugusan Adela di sini, sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 12 Ogos ini untuk sebutan semula.

Pendakwaan masing-masing dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Zubir, Aimi Zahiah Abd Rahim dan Alison Chan.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment