Search This Blog

Tuesday, July 15, 2014

2 ditahan ketika jual beli dadah


2014/07/15
2 ditahan ketika jual beli dadah
Ravichandran (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas di kawasan R&R Ulu Bernam pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir

Shah Alam: Cubaan dua lelaki menggunakan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuh Raya Utara Selatan, bagi mengaburi mata pihak berkuasa ketika mengadakan transaksi jual beli dadah, gagal selepas mereka diserbu pihak berkuasa, Jumaat lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 2.30 petang di Agro Bazaar, di kawasan R&R Ulu Bernam, di lebuh raya berkenaan, polis bukan saja menahan dua lelaki tempatan yang berusia 25 dan 27 tahun, malah turut merampas dadah jenis heroin seberat hampir lima kilogram dianggarkan bernilai RM290,000.

Tangkapan dan rampasan itu dijalankan oleh pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor diketuai oleh Asisten Superintendan Muhd Husni Manaf selepas menjalankan pemerhatian dan serta berdasarkan kepada maklumat orang awam.


Terima maklumat

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Superintendan R Ravichandran, berkata ketika serbuan, kedua-dua lelaki terba-bit dalam perjalanan untuk bertemu pelanggan di kawasan tempat letak kereta di kawasan R&R berkenaan.

“Dua kereta jenis Proton Wira dan Wira Aeroback yang disyaki digunakan dalam transaksi berkenaan turut dirampas.
“Kedua-dua lelaki terbabit yang masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pemandu lori itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga 18 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Ravichandran berkata, siasatan mendapati kedua-dua lelaki terbabit mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 berkaitan kesalahan mengguna dadah.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai ahli sebuah sindiket pengedaran dadah yang berpusat di kawasan Utara Semenanjung dan dikesan bergiat sejak sebulan lalu.

“Mereka dipercayai bergiat aktif mencari pasaran di Lembah Klang dan polis sedang mengesan saki baki sindiket ini.

“Nilai pasaran bahan berkenaan dianggarkan bernilai RM290,000 dan dipercayai boleh diagihkan kepada seramai 7,655 penagih sehari sekiranya diedar dalam bentuk tiub,” katanya.

No comments:

Post a Comment