• Alwi (dua, kiri) ketika mengetuai Ops Harga bersama 20 pegawai KPDNKK di Pasar Besar Dungun, pagi kelmarin.Alwi (dua, kiri) ketika mengetuai Ops Harga bersama 20 pegawai KPDNKK di Pasar Besar Dungun, pagi kelmarin.

DUNGUN – Kedegilan pengguna mematuhi peraturan kawalan harga menyebabkan 17 peniaga dikompaun serta merta selain pelbagai barangan mereka dirampas dalam Ops Harga, dekat sini, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Alwi Abdul Hamid berkata, operasi terbabit dilancarkan pihaknya bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan kawalan harga dan tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga sempena musim perayaan tidak lama lagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap lebih 300 premis, seramai 17 peniaga dikenakan kompaun serta merta kerana pelbagai kesalahan, antaranya termasuk tidak mematuhi tanda harga dan menggunakan alat timbang sukat yang tidak disahkan.

“Keseluruhan nilai kompaun yang dikenakan kepada pengguna yang melakukan kesalahan berjumlah RM2,450 manakala nilai rampasan berjumlah RM4,225.

“Kita akan meneruskan operasi sama sehinggalah menjelang musim perayaan nanti agar peniaga tidak melanggar peraturan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai operasi melibatkan 20 pegawai KPDNKK dekat sini.

Menurut Alwi, kegagalan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan menyebabkan mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dengan kadar denda maksimum sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan sekali ganda hukuman pada kesalahan kedua.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah KPDNKK negeri juga turut menyarankan orang ramai agar dapat menyalurkan maklumat kepada pihaknya jika ada peniaga yang didapati mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati pada musim perayaan Aidilfitri nanti.