Search This Blog

Friday, July 4, 2014

157 mesin judi dirampas dalam lapan serbuan


JOHOR BAHRU 4 Julai - Sebanyak 157 mesin judi haram dan wang tunai RM6,540 dirampas dalam serbuan di lapan premis mesin judi haram di sekitar bandar raya ini awal pagi kelmarin.
Operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) negeri yang bermula pada pukul 11 malam hingga 4 pagi itu turut menahan lapan penjaga premis bersama 57 orang berusia antara 20 hingga 50-an yang sedang leka bermain mesin berunsur perjudian.
Pegawai Turusnya, Deputi Supritendan Adzli Abu Shah berkata, premis yang diserbu itu bukan sahaja berselindung di bawah nama pusat hiburan keluarga malah turut menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu kebal bagi mengelak dikesan.
Katanya, modus operandi itu digunakan oleh kebanyakan pemilik premis yang terlibat dengan sindiket perjudian di negeri ini bagi membolehkan kegiatan mereka berjalan lancar.
“Sindiket perjudian sering mengubah taktik mereka bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa. Ada yang mempunyai permit pusat hiburan keluarga, namun menggunakan pintu kebal dan CCTV tidak seperti pusat hiburan keluarga yang lain.
“Ada juga yang tidak mempunyai permit, namun beroperasi sebagai pusat hiburan keluarga dan menawarkan perkhidmatan perjudian," katanya ketika ditemui selepas operasi berakhir semalam.
Adzli berkata, kebanyakan sindiket judi haram berkenaan tidak lagi menggunakan cara konvensional sebaliknya menawarkan perkhidmatan perjudian secara tebus kredit.
“Kaki judi akan bermain permainan yang disediakan dan cuba untuk mengutip seberapa banyak markah sebelum menebus di kaunter untuk mendapatkan wang tunai.
“Kesemua yang ditahan ketika serbuan memberikan kerjasama yang baik. Polis akan mengambil keterangan mereka bagi membantu siasatan dan akan meneruskan operasi bagi membanteras kegiatan judi haram daripada berleluasa," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor (Hiburan). - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140704/je_04/157-mesin-judi-dirampas-dalam-lapan-serbuan#ixzz36RhsjVxB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment