Search This Blog

Friday, July 4, 2014

104 bakal jemaah ditipu agensi umrah


SEBAHAGIAN jemaah yang ditipu oleh agensi umrah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam, Selangor, semalam.
SABAK BERNAM 3 Julai - Hasrat 104 bakal jemaah untuk menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah tidak kesampaian selepas pengusaha agensi yang menawarkan harga serendah RM1,700 seorang tersebut ‘lesap’.
Mereka yang berdaftar dengan agensi itu sejak 26 Februari 2012 kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak tersebut yang berterusan memberi janji palsu.
Salah seorang mangsa yang bertindak sebagai ketua jemaah terbabit, Mohd. Tilal Fitri Abdul Rani, 47, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM15,000 selepas ditipu agensi berkenaan.
"Seramai enam ahli keluarga saya ditipu apabila dijanjikan penerbangan pertama umrah pada 24 Mac 2013 dan kali terakhir Februari lalu, tetapi hingga kini kami masih belum berangkat ke Tanah Suci atas beberapa alasan tidak munasabah.
"Antara alasan diberi adalah kesukaran memperoleh visa dan kehabisan tiket penerbangan hingga menyebabkan ada beberapa jemaah terpaksa memperbaharui dokumen perjalanan," katanya di sini hari ini.
Dia menambah, agensi berkenaan juga berjanji untuk memulangkan wang mereka pada 22 Jun lalu tetapi sehingga kini terus menghilangkan diri.
Menyedari diri ditipu, mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan IPD Sabak Bernam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140704/je_05/104-bakal-jemaah-ditipu-agensi-umrah#ixzz36RinqYsU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment