Search This Blog

Sunday, July 20, 2014

10,000 liter diesel subsidi dirampas


ANGGOTA penguat kuasa PDNKK negeri memeriksa lori tangki minyak di Jeti Parameswara, Bandar Hilir, Melaka, semalam.
MELAKA 19 Julai - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) negeri merampas 10,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM27,200 di Jeti Parameswara, Bandar Hilir dekat sini hari ini.
Serbuan tersebut dilakukan pada pukul 12.15 tengah hari sewaktu pemandu lori terbabit sedang memindahkan bahan api tersebut dari sebuah lori tangki minyak ke sebuah kapal penunda yang berlabuh tidak jauh dari situ.
Timbalan Pengarah PDNKK negeri, Jamil Buang berkata, dua lelaki iaitu pemandu lori berusia 57 tahun dan pemandu kapal penunda berusia dalam lingkungan 30-an telah ditahan bagi membantu siasatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
Menurutnya, penguat kuasa juga turut menahan kapal penunda terbabit dan lori tangki minyak mengikut Akta Ka­walan Bekalan 1961.
"Serbuan ini dilakukan hasil intipan anggota penguat kuasa PDNKK sejak sebulan lalu dan kita dapati aktiviti pemindahan minyak diesel berlaku empat kali seminggu.
"Hasil pemeriksaan awal, minyak diesel ini dijual kepada pengusaha feri yang berulang-alik dari Melaka ke Bengkalis. Dipercayai mereka menjual bahan api ini mengikut harga industri iaitu RM2.70 satu liter,'' ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Jamil, minyak diesel tersebut dibeli di beberapa stesen minyak di negeri ini dengan harga RM2 satu liter dan dimuatkan melalui lori satu tan setiap hari.
Jelasnya, bahan api dikumpul di satu lokasi lain sebelum proses pemindahan ke lori tangki minyak yang didaftarkan di alamat Perindustrian Bukit Rambai dilakukan.
Beliau menambah, pihaknya tidak pasti sejauh mana kebenaran bahan api itu dijual kepada pengusaha feri yang menjalankan operasi di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) dan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bandar Hilir di sini.
Ujarnya, hasil siasatan awal juga mendapati kapal penunda dan lori tangki berkenaan tidak mempunyai lesen bunkering iaitu penyaluran minyak ke kapal serta lesen borong petrol atau diesel.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140720/je_04/10000-liter-diesel-subsidi-dirampas#ixzz37y1Byv00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment