Search This Blog

Friday, July 4, 2014

100 penduduk tinggal sehelai sepinggang


ANGGOTA bomba dibantu penduduk kampung memadam dan mengawal api daripada merebak dalam kebakaran di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, semalam. - BERNAMA
KOTA KINABALU 3 Julai - Kira-kira 100 penduduk tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang mereka diami sejak 15 tahun lalu di Kampung Pondo, Pulau Gaya, musnah dalam kebakaran, dekat sini hari ini.
Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu dipercayai memusnahkan 30 buah rumah perkampungan atas air berkenaan.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohammad Affendy K. Ramin berkata, seramai 18 anggota termasuk pegawai telah bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki bot Polis Marin.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba, lebih 20 buah rumah telah hangus dijilat api kerana dibina rapat selain diperbuat daripada kayu.
"Api berjaya dikawal pukul 1.37 petang sebelum operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 2.33 petang," katanya.
Tambah Mohammad Affendy, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan.
Perkampungan di Pulau Gaya terletak kira-kira satu kilometer dari bandaraya ini dan mengambil masa 15 minit perjalanan menggunakan bot laju.
Sementara itu, Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Pulau Gaya, Kansi Abdullah ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku sebaik sahaja masyarakat pulau tersebut selesai menunaikan solat zuhur.
Katanya, terdapat hampir lima bunyi letupan dipercayai dari tong gas sepanjang kebakaran tersebut berlaku.
"Ada di antara penduduk bertindak terjun ke laut bagi menyelamatkan diri dan selain sebahagian dari mereka cuba memadamkan kebakaran," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140704/dn_25/100-penduduk-tinggal-sehelai-sepinggang#ixzz36Tby11tv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment