Search This Blog

Thursday, June 12, 2014

Wanita cedera, rugi RM3,000 diragut


12 Jun 2014

BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita cedera dan kerugian lebih RM3,000 akibat diragut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berniaga di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang dua hari lepas.

Kakak mangsa Shahidah Awang, 33, berkata mereka tidak menyedari kejadian yang menimpa Haryanti, 27, sehinggalah mendapati adiknya tidak kembali ke rumah pada awal pagi semalam.

"Anggota keluarga keluar mencarinya sebelum kami buat laporan polis. Petang semalam ada orang menghubungi kami memaklumkan ternampak kemalangan membabitkan   motosikal Haryanti di Jalan Permatang Nibong selepas kami memuat naik mengenai kehilangan Haryanti dalam laman Facebook," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya dia sekeluarga kemudian menghubungi Hospital Seberang Jaya dan dimaklumkan Haryanti dirawat di Hospital Bukit Mertajam (HBM).

Menurut Shahidah, adiknya yang berniaga pau di UiTM di Permatang Pauh itu diragut pada pukul 11.30 malam ketika menunggang bersendirian untuk balik ke rumah.

Adik beritahu motosikalnya ditendang sehingga jatuh oleh penjenayah yang kemudian melarikan kesemua hasil jualan hari itu, katanya.

Menurut Shahidah adiknya dihantar ke hospital berkenaan oleh orang ramai namun didaftar atas nama lain kerana Haryanti hilang ingatan seketika akibat kepalanya terhentak dalam kejadian.

Sementara itu, jurucakap polis berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan wanita berkenaan sebelum seorang anggota  keluarganya hari ini tampil membuat laporan sekali lagi memaklumkan peniaga itu telah ditemui dan sedang menerima rawatan di HBM berikutan kecederaan selepas diragut.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini polis belum mengambil keterangan wanita berkenaan berikutan keadaan mangsa yang masih belum pulih sepenuhnya. Orang ramai yang melihat kejadian itu atau mempunyai maklumat boleh  menghubungi mana-mana balai polis  berdekatan bagi membantu siasatan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment