• Hanif melihat buku sekolahnya yang terbakar.Hanif melihat buku sekolahnya yang terbakar.

SIMPANG RENGGAM - Tiga keluarga di Blok 3, Kampung Sahari, di sini, hilang tempat berteduh apabila rumah sewa yang mereka diami terbakar, malam kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 malam itu, menyebabkan lebih kurang 13 mangsa di tiga rumah di blok berkenaan tidak sempat menyelamatkan dokumen dan barang keperluan berikutan api marak  dengan cepat.

Menurut mangsa, Hanif Azmi, 16, kejadian berlaku pantas sehingga dia tidak sempat menyelamatkan kad pengenalan dan buku pelajarannya.

Jelasnya, sewaktu kejadian, dia sedang tidur di dalam bilik berdekatan dapur rumahnya.

“Saya tersedar apabila terasa kaki sangat panas dan mendapati kebakaran bermula di bahagian dapur sebelum merebak ke seluruh rumah saya dan jiran lain.

“Saya terus ke ruang tamu untuk mengejutkan mak yang sedang tidur dan hanya sempat mencapai telefon bimbit serta mengalihkan kereta dan motor,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Mohd Hafiz Misbah, 31, berkata, kejadian berlaku selepas dia pulang daripada menonton bola sepak di luar.

Menurutnya, apabila tiba di rumah, dia melihat dapur rumah jirannya sudah terbakar lalu terus berlari masuk ke rumah untuk mengejutkan isteri dan anak.

“Barang yang cuba diselamatkan antaranya mesin basuh turut terbakar kerana tidak menyangka kayu bumbung akan jatuh dan menghempap barangan tersebut.
“Kami ingat barang itu sempat diselamatkan, tetapi akhirnya terbakar juga. Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan sekarang ini kami menumpang di rumah ahli keluarga terdekat sementara menanti untuk mendapatkan rumah sewa  baharu,” katanya.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng dan Adun Layang-Layang, Abd Mutalip Abdul Rahim, turut melahirkan rasa simpati kepada mangsa terlibat.